Thursday, April 30, 2009

Isteri Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud meninggal dunia.

KUCHING: Isteri Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud; Puan Sri Laila Taib meninggal dunia di kediaman rasmi mereka di Demak Jaya, Petra Jaya, pada jam 3.40 petang semalam akibat barah.

Allahyarham yang berusia 68 tahun berkahwin dengan Abdul Taib pada 1960 meninggalkan empat anak termasuk Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman selain Jamilah, Mahmud Abu Backer dan Hanifah serta 15 cucu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman serta Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang berada di Kuching menjadi antara orang kenamaan terawal menziarahi jenazah kira-kira jam 6 petang semalam.


Turut dilihat menziarahi jenazah ialah Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Mohammad Salahuddin Abang Barieng; Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Fadillah Yusof dan Menteri Perumahan Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Openg.


Abdul Taib yang berada di Brunei Darussalam kerana mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melakukan lawatan rasmi tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) malam tadi dengan pesawat khas sebelum Najib dijadualkan menziarahi jenazah pada jam 10.30 pagi hari ini.

Sulaiman yang dihubungi Berita Harian semalam memaklumkan, keluarganya reda dengan pemergian Laila namun mereka masih terkejut dan belum bersedia untuk bercakap dengan pihak media.

Beliau juga enggan mendedahkan penyakit yang menyebabkan ibunya meninggal namun difahamkan Laila menghidapi barah dan pernah mendapat rawatan di Australia dan Singapura sebelum dibawa pulang ke Kuching bagi meneruskan rawatannya di Pusat Perubatan Normah, Petra Jaya.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamad Morshidi Abdul Ghani, dalam kenyataan memaklumkan jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Demak Jaya, Jalan Bako kira-kira jam 11.30 pagi dan orang ramai yang ingin menziarahi jenazah diminta berbuat demikian sebelum jam 11 pagi

Allahyarham yang juga Pengerusi Bahagian Wanita Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) dilahirkan pada 1 Mac 1941 di Poland dengan nama Lejla Chaleck.

Mendapat pendidikan awal di Adelaide Girl High School Australia Selatan sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Adelaide University pada 1959.

Beliau yang aktif dalam kegiatan sosial pernah menjadi Pemangku Setiausaha Persatuan Islam Australia Selatan termasuk menjadi guru agama di Masjid Adelaide sehingga 1960 sebelum mendirikan rumah tangga dan berpindah ke Sarawak.

Ketika mengikut Abdul Taib berkhidmat di Kuala Lumpur, Laila menyertai Badan Amal Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri Persekutuan pada 1963 sebelum mengasaskan Kelab Debat Kuala Lumpur pada 1970 dan menjadi pengerusi pertamanya.

Sehingga kini, Allahyarham adalah Ketua Wanita Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) sejak 1980 sebelum dipilih menjadi Naib Presiden Perkim Kebangsaan pada 1982.

Di Sarawak, Laila bergiat aktif dalam Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri Menteri (Sabati) sejak 1982 termasuk dipilih sebagai Pengerusi Wanita Pertubuhan Dakwah Islam Asean dan Pasifik sejak 1983.

Pada Mei 2007, Laila menjadi antara pengasas penubuhan Yayasan Kebajikan Kanser Laila Taib yang memberi tumpuan dalam usaha membantu pesakit kanser berjuang melawan penyakit berbahaya itu.

Sumber: Berita Harian

No comments:

Komen Dan Cadangan

Komen dan cadangan anda tentang blog ini
Nama Penuh
Email Address:
Umur
Jantina Lelaki
Perempuan

form mail