Friday, May 29, 2009

Had 10 subjek bagi calon SPM

Oleh Mohd Amin Jalil
am@hmetro.com.my

NILAI: Jumlah subjek bagi calon sekolah berasrama penuh dan calon lain yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hanya dihadkan tidak melebihi 10 mata pelajaran mulai tahun depan supaya seimbang antara satu sama lain, sekali gus memberi peluang adil untuk biasiswa kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata keputusan itu dibuat bagi mengelak sebarang masalah dengan keputusan A1 yang tidak konsisten di kalangan pelajar cemerlang selain memudahkan pihak Kementerian Pelajaran membuat perbandingan sama rata.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran, berkata keadaan itu menyebabkan calon sekolah berasrama penuh gagal menandingi calon sekolah biasa apabila memohon biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Satu daripada perkara yang dibangkitkan mengenai biasiswa apabila sesetengah pelajar dapat dan sesetengah tidak kerana berlandaskan (keputusan) yang berbeza antara calon di sekolah asrama penuh dan biasa.

“Justeru, kita membuat keputusan untuk mengehadkan jumlah subjek iaitu maksimum 10 mata pelajaran saja supaya setiap pelajar sama ada di sekolah berasrama penuh atau tidak, mengambil mata pelajaran yang sama,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Kompleks Pendidikan Bandar Enstek, dekat sini, semalam.

Muhyiddin berkata, berkata kementerian mendapati daripada setengah juta pelajar yang menduduki SPM sebelum ini, terdapat kira-kira 48,000 pelajar mengambil lebih daripada 10 subjek.

Menurutnya, susulan keputusan itu, kementerian juga akan melakukan beberapa perubahan terhadap sistem penggredan SPM.

“Kita yakin melalui perubahan ini ia akan mempunyai banyak implikasi positif dan antara yang pasti guru akan berupaya memberi lebih tumpuan terhadap bilangan mata pelajaran utama selain mereka juga akan lebih khusus.

“Selain itu, ia juga akan dapat mengatasi masalah pada sesetengah subjek yang kekurangan guru manakala ibu bapa dapat menjimatkan wang daripada terpaksa membayar lebihan subjek yang diambil apabila menghantar anak mereka ke kelas tuisyen,” katanya.


Sumber: Harian Metro

No comments:

Komen Dan Cadangan

Komen dan cadangan anda tentang blog ini
Nama Penuh
Email Address:
Umur
Jantina Lelaki
Perempuan

form mail